Sunday 30 September 2012

Finally...i got the medication ...

Donna Capsule Glucosamine Sulphate





Donna Capsule Glucosamine Sulphate
ANDA sering mengalami sakit sendi kebelakangan ini? Ia mungkin osteoartritis (OA), sejenis sakit sendiyang paling biasa di kalangan kita.
Lazimnya, apabila sakit sendi menyerang terutamanya pada bahagian punggung, lutut dan jari-jemari seseorang, penyeksaannya turut dirasai oleh seluruh badan. Selain kesakitan yang teramat sangat, sakit sendi juga menyebabkan seseorang tidak dapat melakukan aktiviti hariannya dengan lancar.
Pada peringkat yang lebih serius, pembedahan penggantian sendi terpaksa dilakukan. Pakar pembedahan ortopedik di sebuah klinik swasta, Dr. Teo Wee Sin berkata, OA berlaku apabila rawan yang sihat kehilangan unsur penting seperti air, proteoglikan, kolagen dankondrosit.
Air bertindak sebagai pelincir rawan manakala proteoglikan untuk menarik dan mengekalkan air, kolagen untuk mengekalkan proteoglikan di tempatnya dan kondrosit untuk membuang proteoglikan dan kolagen lama bagi digantikan dengan yang baru.
Bagaimanapun, dengan rawatan berkesan, OA dapat dicegah dan dipulihkan,'' katanya pada ceramah penggunaan glukosamin di bawah jenama Donna Capsule untuk merawat OA yang dibawakan oleh Duopharma (Malaysia) Sdn. Bhd. di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Donna Capsule mengandungi glukosamin sulfat, iaitu produk anti-OA pertama yang boleh merawat gejala-gejala OA sekali gus mengelakkannya dari menjadi mudarat. Dr. Teo berkata, sejak tahun 1960-an, glukosamin didapati berkesan dalam melegakan kesakitan radang sendi dengan cara merangsang biosintesis sesetengah proteoglikan, memulihkan kondrosit yang rosak dan mempunyai ciri-ciri antiradang.
Menurutnya, glukosamin merupakan sejenis bahan semula jadi yang banyak terdapat di dalam tubuh badan manusia. Setiap orang mengeluarkan sejumlah glukosamin di dalam tubuh mereka. Apabila usia meningkat, tubuh mereka kehilangan keupayaan untuk mengeluarkan glukosamin yangmencukupi,'' katanya.
Memiliki banyak glukosamin di dalam tubuh amat penting bagi menghasilkan nutrien yang diperlukan untuk merangsang pengeluaran bendalir sinovia yang melincirkan rawan dan menjaga kesihatan sendi. Tanpa glukosamin yang mencukupi, rawan pada sendi-sendi yang menanggung berat seperti pinggul, lutut dan tangan akan merosot.
Rawan kemudiannya mengeras dan membentuk cabang tulang, mencacatkan sendi dan mengehadkan pergerakan sendi. Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan Duopharma, Balbir Singh berkata, glukosamin diperbuat daripada gabungan gula yang dihasilkan oleh chitin yang terdapat pada ikan.
Glukosamin terbukti berkesan dalam banyak percubaan saintifik untuk merawat kesakitan OA, memulihkan rawan, memperbaharui bendalir sinovia dan memperbaiki sendi-sendi yang rosak akibat OA. Kesan sampingan glukosamin seperti gangguan gastrik, cirit-birit, sembelit dan loya biasanya tidak lama dan tidak teruk,'' katanya.
Beliau berkata, glukosamin yang bertindak membina semula rawan boleh digabungkan dengan ubat-ubat pelega kesakitan segera seperti ubat antiradang bukan steroid(NSAID). Kaedah gabungan tersebut dikenali sebagai terapi titian. ``Kombinasi ini terbukti berkesan dalam menghilangkan kesakitan langsung akibat OA di samping membina semula rawan serta mengurangkan kesan sampingan akibat penggunaan NSAID semata-mata,''katanya.
NSAID merupakan satu-satunya rawatan yang ada untuk merawat OA dalam tempoh 40 tahun yang lepas. Bagaimanapun, ia boleh menyebabkan ulser perut, kerosakan buah pinggang, ketoksikan terhadap sel-sel saraf auditori yang menjejaskan pendengaran dan berpotensi membahayakan organ-organ lain.
Tidak seperti NSAID yang mampu melegakan kesakitan segera dalam masa beberapa jam selepas pengambilan, glukosamin bagaimanapun tidak mempunyai ciri-ciri tersebut. Walaupun sesetengah pengamalnya mendapat kelegaan separuh dalam tempoh dua minggu atau sebulan, ia biasanya perlu digunakan sekurang-kurangnya dua bulan sebelum kelegaan yang nyata dapat dirasai.

Thursday 27 September 2012

Lutut oh Lutut...( nukilan rasa )

Agak berlainan post hari ini...sesungguhnya Allah sedang menguji aku ...

Setelah hampir dua tahun berehat dari sebarang aktiviti sukan..kebelakangan ini terkenang semula zaman -zaman di maktab dulu. Apa saja bidang sukan aku akan cuba libatkan diri..Dalam olahraga aku menjadi pelompat tinggi dengan lompatan yg tak seberapa tapi mampu mendapat pingat emas pada kejohanan peringkat maktab walaupun aku dikhabarkan bahawa peserta ala-ala Loo Kum Zee sedang berpraktikum. Kalau dia ada tentu aku hanya mendapat pingat perak..

Dalam bidang Tenis..aku juga mewakili maktab walaupun sebelum ini tak pernah pun pegang raket tenis. En. Ibrahim Yaakob Pensyarah Seni Visual dari Pekan menjadi jurulatih. Setiap hari kami akan berlatih di Gelanggang Tenis Taman Gelora berhampiran dengan TC..alhamdulillah..kalau orang ajak main tu boleh lah. Aku sanggup menarik diri dari latihan bola semata-mata nak main tenis dalam kejohanan maktab peringkat kebangsaan. Apabila hampir dengan kejohanan aku diserang demam yang kuat sehingga memaksa aku bercuti selama seminggu..apabila pulang ke maktab aku tidak disenaraikan untuk bermain kerana En. Yaakob berpendapat aku belum cukup sihat dan terlepas banyak latihan..Kecewa lagi. .

Ahh lupakan tenis, kini sudah tiba masa untuk kejohanan badminton KAGUM zon tengah. Pemilihan akan dijalankan dan sudah tentu banyak persaingan untuk terpilih. kejohanan dalaman dianjurkan oleh panel pemilihan. kami akan berentap sesama sendiri. itu lebih adil berbanding dengan pemilihan secara cadangan oleh pihak tertentu..sudah tentu pihak tertentu akan memilih Kroni-kroni sahaja. Alhamdulillah aku terpilih bermain dalam acara perseorangan. ..pemain perseorangan  pada umur 29 tahun dan berat badan  62 kg.

                                       Hanya ini yang tinggal ....dah tak muat badan. Teringin jugak nak
                                             pakai tapi macam sarung cempedak..apakan daya..

             KINI...aku hanya mampu mengenang nostalgia itu. Segala-galanya telah berubah seiring dengan peningkatan usia ku. aku seperti biasa dengan rutin petang selasa bermain badminton . Selepas bermain badminton, sewaktu dalam perjalanan Pulang aku teringat bahawa ada perlawanan Futsal pada sebelah malam nanti jam 9.00, sesungguhnya aku begitu letih sekali tapi tak mampu menolak kerana telah berjanji dengan kawan-kawan yang merupakan jiranku. Dalam keterujaan bermain ..tiba-tiba Lutut kiriku terasa sakit tapi aku masih mampu bermain sehingga tamat.

keesokan paginya ..aku terasa kesakitan pada bahagian lutut kiriku yang kelihatan agak bengkak. Kesakitan ini akan terasa apabila menuruni dan menaiki tangga. Aku bimbang kerana tidak dapat bersolat dengan sempurna ...kerana kesakitan. mungkin juga aku terpaksa lupakan basikal dan badminton..dan hanya membela perutku yang semakin besar ini..dengan berat 102 kg dan dengan usia yang hampir mencecah 40. Apabila usia semakin banyak...sudah tentu gaya hidup kita juga perlu lebih positif dan aktif supaya penyakit dapat dijauhkan. Mati semakin hampir tetapi kita tidak boleh hanya duduk menunggu mati. Kita perlu hidup...hidup dalam keredhaan Allah..apabila tiba ajal kita..maka kita tidak boleh lari lagi. Apa yang semua orang beriman impikan ialah mati dalam keadaan HUSNUL KHOTIMAH.

Baru sedikit saja kesakitan ..aku sudah terasa sukar. Aku harap kesakitan lututku akan pulih...LUTUT OH LUTUT.



Saturday 22 September 2012

Mustafa Kamal Ataturk - Mati Dalam Kehinaan

Untuk tatapan dan peringatan kepada pemimpin yang sombong dengan hukum – hukum Allah. Adakah sahabat semua mengenali MUSTAFA KAMAL ATATURK??  Benar.. Masakan kita tidak mengenalinya sedangkan dialah orang yang bertanggungjawab meruntuhkan Daulah Khalifah yang kita banggakan sejak sekian lama.
Tanggal 3 Mac 1924  merupakan titik hitam di dalam sejarah umat Islam yang tidak harus dilupakan oleh kaum Muslimin. Pada tarikh inilah umat Islam secara rasmi telah kehilangan perisai dan tonggak tempat mereka berlindung – Khilafah Islamiyyah. Kejadian ini meninggakan luka yang amat dalam pada diri umat Islam..

Khalifah yang terakhir, Sultan Abdul Majid telah diusir meninggalkan pusat pentadbiran Daulah Khilafah di Turki pada subuh hari tersebut hasil daripada persidangan Majlis Nasional yang diketuai oleh La’natullah Mustafa Kamal melalui konspirasi jahat kafir Barat.

Kamal Ataturk diberi gelaran al-Ghazi (orang yang memerangi). Perkataan Ataturk bermakna bapa orang Turki. Artaturk ialah orang yang bertanggungjawab meruntuhkan Kerajaan Islam Turki pada tahun 1343H (1924M). Beliau dilahirkan pada tahun 1299H (1880M) di bandar salonika, Greek yang ketika itu merupakan jajahan takluk Kerajaan Uthmaniyyah. Bapanya bernama Ali Reda Afandi, berkerja sebagai pengawal di jabatan Kastam. Ada yang mengatakan beliau ialah bapa tiri Ataturk dan bukan bapa kandungnya. Ada juga yang mengatakan Ataturk oleh Guru matematiknya yang bernama Mustafa. Mustafa bertugas di sekolah Ataturk iaitu sebuah sekolah menengah tentera dan pada ketika itulah beliau tertarik dengan kebolehan Ataturk dalam bidang matematik lalu mencadangkan nama Mustafa Kamal.

Ketika Mustafa Kamal mencapai usia 12 tahun, beliau memasuki Sekolah Tentera Salonika. Kemudian beliau menyambung pelajaran di Akademi Tentera Monasitar pada tahun 1302H (1885M). Pada tahun 1322H (1905M), beliau memasuki kolej tentera di Istanbul dan menamatkan latihan ketenteraannya pada tahun 1325H. (1907M). Kemudiannya, belaiu telah ditugaskan di Kem Tentera Batalion ketiga di Salonika.

Ataturk hidup tanpa isteri dan anak-anak. Isterinya bernama Latifah Hanim hanya mampu tinggal bersamanya selama setahun sahaja kerana tidak tahan dengan kefasikan Ataturk. Kediamannya dipenuhi dengan segala macam kemungkaran daripada arak sehinggalah wanita.

Sewaktu Mustapha Kamal Attaturk menjadi perdana menteri Turki, dia telah membuat undang-undang yang amat bercanggah dengan ajaran agama Islam, antaranya ialah :

1. Membolehkan perempuan memakai tudung dengan syarat pakai skirt.

2. Membolehkan lelaki memakai seluar panjang dengan syarat pakai tali leher dan topi(sesuai dengan kehendak barat).

3. Menyuruh wanita dan lelaki menari di khalayak ramai. Beliau sendiri pernah menari dengan seorang wanita di satu parti umum yang pertama di Ankara.

4. Beliau pernah menegaskan bahawa “negara tidak akan maju kalau rakyatnya tidak cenderung kepada pakaian moden.”

5. Menggalakkan minum arak secara terbuka.

6. Mengarahkan Al-Quran dicetak dalam bahasa Turki.

7. Menukar azan ke dalam bahasa Turki. Bahasa Turki sendiri diubah dengan membuang unsur-unsur Arab dan Parsi.

8. Mengambil arkitek- arkitek dari luar negara untuk memodenkan Turki. Hakikatnya mereka diarah mengukir patung-patung dan tugu-tugunya di seluruh bandar Turki.

9. Satu ucapan beliau di bandar Belikesir di mana beliau dengan terang-terangannya mengatakan bahawa agama harus dipisahkan dengan urusan harian dan perlu dihapuskan untuk kemajuan.

10. Agama Islam juga di buang sebagai Agama Rasmi negara.

11. Menyerang Islam secara terbuka dan terang-terangan.

12. Menggubal undang-undang perkahwinan berdaftar berdasarkan undang-undang barat.

13. Menukar Masjid Ayasophia kepada muzium, ada sesetengah masjid dijadikan gereja.

14. Menutup masjid serta melarang dari bersembahyang berjemaah.

15. Menghapuskan Kementerian Wakaf dan membiarkan anak-anak yatim dan fakir miskin.

16. Membatalkan undang-undang waris, faraid secara islam.

17. Menghapus penggunaan kalendar Islam dan menukarkan huruf Arab kepada huruf Latin.

18. Mengganggap dirinya tuhan sama seperti firaun. Berlaku peristiwa apabila salah seorang askarnya ditanya “siapa tuhan dan di mana tuhan > tinggal?” oleh kerana takut, askar tersebut menjawab‘Kamal Atartuk adalah tuhan” beliau tersenyum dan bangga dengan jawapan yang diberikan oleh askar itu.


Sekular adalah memisahkan agama dengan semua kehidupan..!!




Kematian Kamal Atartuk Yang Menyeksakan

Di saat kematiannya, Allah telah datangkan beberapa penyakit kepada beliau sehingga beliau rasa terseksa dan tak dapat menanggung seksaan dan azab yang Allah berikan di dunia. Antaranya ialah :

1. Didatangkan penyakit kulit hingga ke kaki dimana beliau merasa gatal-gatal seluruh badan.

2. Sakit jantung.

3. Penyakit darah tinggi.

4. Panas sepanjang masa, tidak pernah merasa sejuk sehingga terpaksa diarahkan kepada bomba untuk menyiram rumahnya 24 jam. Pembantu-pembantunya juga diarahkan untuk meletak ketulan-ketulan ais di dalam selimut untuk menyejukkan beliau.

Maha suci Allah, buat macam mana pun rasa panas tak hilang-hilang. Oleh kerana tidak tahan dengan kepanasan yang ditanggung, beliau menjerit sehingga seluruh istana mendengar jeritan itu. Oleh kerana tidak tahan mendengar jeritan, mereka-mereka yang bertanggung jawab telah menghantar beliau ke tengah lautan dan diletakkan dalam bot dengan harapan beliau akan merasa sejuk. Allah itu Maha Besar, panasnya tak jugak hilang! Pada 26 september 1938, beliau pengsan selama 48 jam disebabkan terlalu panas dan sedar selepas itu tetapi beliau hilang ingatan.

Pada 9 November 1938, beliau pengsan sekali lagi selama 36 jam dan akhirnya meninggal dunia. Sewaktu beliau meninggal, tidak seorang pun yang memandi, mengkafan dan menyembahyangkan mayat beliau.

Mayatnya diawetkan selama 9 hari 9 malam, sehingga adik perempuan beliau datang meminta ulama-ulama Turki memandikan, mengkafankan dan menyembahyangkannya. Tidak cukup dari itu, Allah tunjukkan lagi balasan azab ketika mayatnya di bawa ke tanah perkuburan. Bila mayatnya hendak ditanam, tanah tidak menerimanya (tak dapat nak bayangkan bagaimana tanah tidak menerimanya).

Disebabkan putus asa, mayatnya diawetkan sekali lagi dan dimasukkan ke dalam muzium yang diberi nama EtnaGrafi (kalau tak silap dengar) selama 15 tahun sehingga tahun 1953). Selepas 15 tahun mayatnya hendak ditanam semula, tapi Allah Maha Agung, bumi sekali lagi tak menerimanya.

Habis ikhtiar, mayatnya diletakkan dalam keranda timah dan dibawa pula ke satu bukit ditanam dalam satu binaan marmar beratnya 44 tan.Mayatnya ditanam di celah-celah batu marmar. Apa yang menyedihkan, ulama-ulama sezaman dengan Kamal Atartuk telah mengatakan bahawa jangan kata bumi Turki, seluruh bumi Allah ini tidak menerima Kamal Atartuk!

Maha suci Allah.. Itulah azab yang diterima oleh seorang yang menentang Agama Allah secara terang-terngan.. Belum lagi azab yang ditanggung di akhirat kelak yang kekal abadi.. Dan itulah yang selayaknya diterima oleh si murtad Mustafa Kamal Ataturk LAKNATULLAH!!


Monday 17 September 2012

Syukur....


APAKAH ERTI SYUKUR?

Syukur adalah pengakuan hati terhadap sesuatu ganjaran, nikmat yang dianugerahkan yang diberikan oleh ALLAH Taala. Syukur juga bukan hanya meliputi terhadap perkara-perkara nikmat, malah ianya juga meliputi syukur kerana terlepas daripada bala, malapetaka dan bencana yang menimpa. Antara lain pengertian syukur ialah:

i)    Iaitu mengaku dan memuji ALLAH atas nikmat yang diberi dan menggunakan segala nikmat itu untuk berbuat taat kepada ALLAH subhanahu wata’ala.

ii)    Tiap-tiap nikmat yang diberi oleh ALLAH kepada makhlukNya adalah dengan limpah kurniaNya semata-mata, seperti nikmat kesihatan, kekayaan ,kepandaian dan sebagainya. Oleh yang demikian, bersyukur dan berterima kasih atas nikmat-nikmat tersebut merupakan satu kewajipan kepada ALLAH.
iii)    Setiap nikmat juga hendaklah disyukuri kerana orang yang tidak berterima kasih adalah adalah orang yang tidak mengenal budi. Oleh itu,hendaklah digunakan nikmat-nikmat ALLAH itu untuk menambahkan ibadah kepada ALLAH dan sangatlah keji dan hina menggunakan nikmat-nikmat itu untuk menderhakai Tuhan yang memberi nikmat.

Terdapat pelbagai nikmat yang dianugerahkan oleh ALLAH terhadap hamba-hambaNya. Keseluruhan nikmat yang dikurniakan perlu ada bukti yang memperlihatkan kesyukuran. Bukti mensyukuri nikmat harta adalah apabila seseorang hamba itu membelanjakan hartanya di jalan ALLAH SWT. Bukti mensyukuri nikmat kekuasaan yang diperolehi oleh seorang pemimpin adalah menjadi pemimpin yang adil dan berusaha sekuat tenaga memberikan kesejahteraan kepada orang yang dipimpinnya. Bukti mensyukuri nikmat ilmu adalah mengamalkannya dan mengajarkannya kepada orang lain.begitulah juga bukti mensyukuri nikmat-nikmat yang lain adalah dengan menggunakannay hanya untuk beribadah kepada ALLAH.seluruh kebaikan di dunia ini merupakan ibadah kepada ALLAH. Dalam Al Quran ALLAH SWT banyak memberikan pelajaran dan pengajaran tentang orang-orang yang diazab kerana tidak mensyukuri nikmat-nikmatNya. Di antaranya , Firaun ditenggelamkan bersama bala tenteranya kerana kufur terhadap nikmat kekuasaan. Qarun ditenggelamkan ke dalam perut bumi bersama harta bendanya kerana kufur terhadap nikmat harta. ALLAH juga menyiksa Hamman kerana kufur nikmat kecerdikan yang ALLAH berikan terhadapnya.

Berdasarkan peristiwa-peristiwa yang telah dirakamkan di dalam Al Quran, ianya membuktikan bahawa nikmat ALLAH yang tidak disyukuri segalanya akan dimusnahkan mengikut kadar kekufurannya atas nikmat-nikmat yang telah dikurniakan. Punca lahirnya rasa bersyukur ialah apabila seseorang hamba itu ikhlas dalam melaksanakan pekerjaannya, bersungguh-sungguh dan menyandarkan seluruh kehidupannya serta pergantungannya hanya kepada ALLAH SWT. Merasa diri sebagai seorang hamba kepada ALLAH SWT , dan segala yang dimiliki adalah pinjaman daripadaNya. Sentiasa merasa cukup dengan apa yang ada, sama ada zahir mahupun batin, serta redha dengan segala ketwntuanNya. Manusia perlu bersyukur kerana ALLAH SWT telah menjadikan manusia dengan sesempurna kejadian, dan pujian yang selayaknya hanya kepada ALLAH SWT di atas kurniaanNya yang tidak terhitung. Manusia yang bersyukur adalah antara hamba yang pertama dimasukkan ke dalam syurga, ini berdasarkan kepada Hadis Nabi SAW :
    “Orang yang pertama diseur ke Syurga pada hari kiamat ialah orang-orang yang memuji ALLAH dalam keadaan suka dan duka. “

Kesan daripada tidak bersyukur manusia akan lebih terdorong dan berani membiasakan diri dengan melakukan kejahatan, kezaliman terhadap diri sendiri dan sekelilingnya. Apabila manusia melakukan maksiat maka terputuslah dia daripada mendapat Rahmat ALLAH SWT. Adapun cara mensyukuri nikmat ALLAH SWT secara umum, ialah dengan menggunakan segala nikmat ALLAH untuk hal-hal yang diredhaiNya, yakni melakukan usaha-usaha agar memperolehi kebahagiaan hidup di dunia yang fana dan akhirat yang kekal kelak.

Jesteru,untuk menjadi hamba yang bersyukur kita perlu meminta dan memohon kepada ALLAH SWT . ALLAH SWT mengajarkan doa tersebut di dalam Al Quran ;”Ya Tuhanku, tunjuklah aku untuk mensyukuri nikmat-Mu yang Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal soleh yang Engkau redhai, berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.” (Surah Al Ahqaf:15)

WALLAHU’ALAM.

Jika orang berbicara di belakang kita...( buat penyedap perut)


  • Jika ada org bicara mngenai kita di belakang,itu adalah tanda bahawa kita sudah ada DI DEPAN...
  • Saat org bicara merendahkan diri kita, itu adalah tanda bahawa kita sudah berada di tempat yang LEBIH TINGGI...
  • Saat org Bicara dengan nada iri mengenai kita, itu adalah tanda bahawa kita sudah jauh LEBIH BAIK dari mereka...
  • Saat orang bicara buruk mengenai kita, padahal kita tidak pernah mengusik kehidupn mereka, itu adalah tanda bahawa kehidupan kita sebenarnya LEBIH INDAH dari mereka...
"Payung tidak dapat menghentikan hujan, tapi dapat membuat kita berjalan menembus hujan utk mencapai tujuan......!!

Sunday 16 September 2012

Nafsu....

Sabda Rasulullah SAW: “Kita baru balik dari peperangan kecil kepada peperangan yang maha besar.” Para Sahabat bertanya: “Peperangan apakah itu ya Rasulullah?” Jawab baginda: “Perang melawan nafsu.” (Riwayat Al Baihaqi)
Melawan nafsu (mujahadah) ini memang susah. Rasulullah ibaratkan lebih susah daripada berdepan dengan peperangan senjata. Dalam bab-bab sebelum ini, kita sudah huraikan betapa sulitnya nafsu itu hendak dikesan dan tersembunyi pula. Sebab itu sesetengah orang tidak dapat mengesannya. Sesetengahnya lagi tidak pernah ambil tahu adanya perkara batin ini. Jadi dia tidak pernah berfikir untuk berperang dengan nafsu sendiri. Golongan ini merasa hairan bila diajak melawan hawa nafsu.
Kata mereka, “Di mana susahnya hendak melawan nafsu?”
“Betulkah nafsu itu sulit untuk diperangi?”
“Nafsu itu tidak ada apa-apa. Saya tidak ada masalah dengan nafsu saya.”
“Pelik! Mengapa orang kata nafsu itu sangat jahat? Sulit untuk ditundukkan? Ia perlu diperangi? Aku tak faham!”
Untuk golongan ini, agar mudah memahaminya kita cuba buat perbandingan. Nafsu yang jahat itu kita ibaratkan pencuri, perompak dan penyamun. Jadi mencuri, merompak dan menyamun itu memang profesyen mereka. Mereka tidak rasa susah dengan kerja mencuri, merompak atau menyamun sebab kerja-kerja itu memang kerja mereka. Merekalah yang selalu mengganggu-gugat keamanan orang, mencuri, kidnap, pecah rumah, rampas barang orang, larikan anak gadis orang, mengancam nyawa orang, membunuh dan lain-lain lagi. Oleh kerana itu kerjanya, dia tidak terasa susah dan sulit dalam melaksanakan tugas-tugas tersebut. Tetapi yang rasa susahnya ialah orang yang kena curi. Yang rasa terganggu-gugat adalah orang yang kena rompak. Yang rasa huru-haranya adalah orang yang kena samun. Betapa azabnya mereka menanggung.
Hidup dalam ketakutan. Rasa hilang keselamatan. Rasa hilang bahagia sebab harta hilang, rumah musnah, duit habis dikebas hingga jadi papa kedana. Anak isteri dilarikan dan nyawa terancam. Hati susah yang amat sangat. Hilang ketenangan. Makan tidak kenyang, tidur tidak lena. Segala kerja terganggu hingga haru-biru masyarakat. Tidak aman negara. Polis dan orang ramai turut sama susah, terganggu dan terancam. Disusahkan, diganggu dan diancam oleh perompak-perompak dan lanun-lanun tadi.
Membendung perompak dan lanun-lanun ini bukannya mudah. Satu kerja yang payah dan sulit. Hendak memusnahkan semua sekali tidak mungkin sebab perompak-perompak ini selalunya bekerja di waktu malam, dalam gelap pekat, di waktu orang sedang tidur nyenyak dan di waktu orang sedang sibuk dan asyik. Dia bekerja bukan terang-terangan tetapi secara senyap-senyap dan berhati-hati. Kerjanya tangkas, cekap dan pakar. Selepas kerja, terus hilang lesap. Dia pandai menyembunyikan diri dengan menyamar macam orang biasa. Hingga manusia susah hendak mengesan dan menangkapnya. Hanya polis yang cekap dan pintar, yang dibantu dengan alatan canggih sahaja yang dapat mengesannya dan sekaligus berjaya menangkapnya. Itulah kerja perompak dan lanun-lanun yang menjadikan semua orang pening, risau, terganggu, tergugat dan huru-hara.
Jadi orang yang terganggu ini akan berdepan dengan tiga kesusahan iaitu:
a. Susah kerana gangguan mereka.
b. Susah hendak mengesan siapakah yang mengganggu itu kerana mereka tidak isytiharkan diri.
c. Susah hendak melawan dan memusnahkan pengganggu tadi.
Tetapi perompak-perompak dan lanun-lanun tadi relaks saja. Mereka tidak rasa terganggu atau hilang ketenangan sebab mereka yang mengganggu. Bagi orang yang senyap-senyap bekerjasama dengan perompak-perompak dan lanun-lanun tadi, mana terasa susah. Dia juga tidak susah macam tidak susahnya perompak-perompak tadi. Orang yang beri laluan, orang yang jadi spy dan beri kerjasama dengan perompak-perompak tadi pun tidak rasa susah dan tergugat.
Begitulah tamsilannya nafsu kita yang jahat ini. Jika seseorang itu sudah jadi pengikut nafsu yang jahat itu, dia pun senang hati dengan perbuatan jahatnya. Mana terasa susah lagi kerana telah sama-sama jadi geng jahat. Yang terasa kejahatannya itu ialah orang yang diganggu. Bagi orang yang tidak mahu tunduk dengan kejahatan nafsu dan ingin memeranginya, tentulah dia terasa susah, amat terseksa dan letih untuk memusuhi nafsunya. Kalau tidak benar-benar tekad dan tabah, ia akan kalah dan menyerah sahaja.
Orang yang terasa betapa susahnya melawan nafsu akan berdepan dengan tiga kesusahan iaitu:
a. Susah hendak mengesan nafsu yang abstrak, yang maknawiyah, yang terlalu halus hingga terpaksa mempelajarinya.
b. Bila sudah tahu, kehendak-kehendak hati nuraninya pula terpaksa bertarung dengan kehendak-kehendak nafsunya. Amat susah pula untuk tidak mengikut kehendak-kehendak nafsu.
c. Susah hendak mujahadah terhadap nafsu kerana terpaksa membuat bermacam-macam latihan yang mencabar.
Di sini didatangkan beberapa contoh sebagai bukti susahnya berperang atau bertarung dengan nafsu iaitu:
1. Kalau ada orang mengata, menghina, mengumpat, maki hamun di depan atau di belakang kita, bagaimanakah sikap kita? Bolehkah hati kita rasa senang dan tenang? Mudahkah kita tahan hati kita yang sedang gelojak marah itu? Bolehkah kita diamkan sahaja tanpa sakit hati atau susah hati atau berdendam. Bolehkah kita ucapkan “Assalaamualaikum,” dan tinggalkan mereka dengan senyum manis? Mampukah kita memaafkannya? Tentu tidak mudah. Hati kita tentu sakit dan menderita. Apatah lagi hendak berbuat baik dengan orang yang berbuat jahat terhadap kita seperti kehendak Rasulullah SAW: “Berbuatlah baik pada orang yang berbuat jahat pada kamu.”
1. Mudahkah kita memaafkan orang yang telah bersalah pada kita? Mungkin telah menghina atau berlaku kasar dengan menengking-nengking kita. Tentu tidak mudah, susah dan pahit. Kerana hati kita sudah dilukakannya selama ini kecuali kita lawan nafsu kita itu.
2. Kita diuji Allah dengan bermacam-macam ujian seperti hidup miskin. Kita sudah berusaha tetapi tidak juga kaya. Kita ingin pandai. Setelah berusaha, kita tidak juga cerdik. Kita gagal peperiksaan. Masyarakat tidak peduli. Dicemuh pula kerana kemiskinan dan tidak ada sijil tinggi. Mudahkah kita tanamkan jiwa besar di waktu itu sehingga kita boleh berdikari dan tidak pedulikan kata-kata mereka itu? Apakah di waktu itu kita boleh menahan perasaan daripada keluhkesah hingga boleh menyerahkan pada takdir? Bolehkah redha dan baik sangka dengan Allah? Hati atau nafsu mana mahu menerima hakikat di sebalik kejadian itu ada pahala yang menunggu?
3. Kita lihat ada orang susah, menderita dan melarat. Mungkin terasa simpati untuk membantu memberi duit padanya. Ini mungkin mudah dan rasa mulia dilakukan kerana orang kata kita baik dan pemurah. Disanjung dan dipuji pula. Tetapi untuk duduk setaraf bersama-sama mereka dan menghiburkan hati mereka, tentu susah. Mampukah kita bergaul dengan mereka? Tidur baring dan makan minum bersama mereka? Bermesra-mesra dengan mereka? Memberi salam mendahului mereka? Tentu tidak mudah. Nafsu terasa hina dan malu. Lebih-lebih lagi kalau kita ada kedudukan, tentu nafsu rasa jatuh wibawanya.
4. Kita ada kelulusan pengajian Islam, mungkin B.A., M.A. atau PhD. Kita tahu bekerja atas tiket ijazah satu perkara yang hina dan keji dalam Islam.
Sebab Rasulullah SAW pernah bersabda: “Barangsiapa menuntut sesuatu dari ilmu ini yang dikehendaki dengannya wajah Allah untuk mendapatkan sedikit dari mata benda dunia, pasti masuk Neraka.” (Riwayat Ibnu Asakir)
Sedangkan peluang ada. Terbuka bila-bila masa sahaja. Kelulusan yang kita miliki membolehkan kita menjawat jawatan tinggi dengan gaji dan elaun yang lumayan. Ada pangkat, ada nama, disebut dan disanjung orang. Mungkin jadi mufti, kadhi atau ketua pengarah jabatan Islam. Apakah kita akan tolak tawaran tersebut dengan alasan ingin mencari pekerjaan yang lebih halal seperti berniaga, bertani atau berternak? Tentulah akan berperang dengan nafsu sendiri. Senangkah untuk lepaskan peluang ini? Tentu payah. Nafsu akan terlonjak-lonjak berkehendakkan jawatan dan kedudukan dengan kelulusan agama tadi. Nafsu akan rasa rugi dan bodoh bila menolak peluang merebut kemewahan dunia itu.
6. Kita ada jawatan penting. Ada kuasa untuk luluskan projek-projek untuk kemajuan rakyat. Rakyat memohon dan merayu pada kita. Kita tunaikan. Adakalanya projek yang diminta kita luluskan segera, disogoknya ratusan ribu atau berjuta-juta ringgit atau diumpan dengan perempuan-perempuan cantik serta macam-macam tawaran istimewa lagi. Apakah mudah kita menolak tawaran-tawaran istimewa ini? Tentu payah. Nafsu akan mendorong dan membisik-bisikkan supaya peluang keemasan itu jangan dilepaskan. Inilah yang ditunggu-tunggu selama ini. Kawan-kawan yang setaraf sudah lama merasa. Tentu nafsu tidak mahu kalah. Hendak ditolak, orang lain pun buat. Nyatalah sulitnya melawan nafsu ini.
7. Kita seorang peniaga. Bersama-sama kita ada peniagapeniaga lain yang berniaga bersebelahan dengan kita. Perniagaannya sangat maju dan berjaya sedangkan kita sebaliknya, tidak maju dan hampir bangkrap. Apakah mudah untuk menahan nafsu supaya sabar dan redha dengan takdir serta tidak berlaku hasad dengki dengan peniaga yang berjiran dengan kita tadi. Tentu tidak mudah!
8. Kita sebagai petani, sama-sama berkebun dengan jiran kita. Kebunnya menjadi dan subur. Sedangkan kebun kita tidak menjadi dan tidak subur. Hasilnya juga kurang. Pendapatan kita jauh kurangnya berbanding dengan kawan kita tadi yang sudah jadi kaya-raya dengan jualan hasil kebunnya. Apakah mudah kita redha dengan keputusan Allah itu? Apakah boleh kita membendung nafsu kita supaya tidak hasad dengki dengan jiran kita itu. Tentu sulit!
9. Kita seorang pendakwah. Kita berdepan dengan pendakwah bebas atau pendakwah dari jemaah lain atau sama-sama berdakwah dalam sebuah jemaah. Kita dapati orang itu lebih diterima oleh orang ramai dan disanjung-sanjung. Ada pengikut pula. Sedangkan dakwah kita tidak diterima orang. Bahkan dihina-hina pula. Kita tidak ada pengikut sedangkan kita ada kelulusan tinggi dari universiti oversea atau kita adalah pendakwah rasmi. Mudahkah kita terima hakikat ini? Apakah kita sanggup mengangkat tangan mendoakan kejayaannya? Kemudian memberi sokongan moral dan material pada orang itu? Sebab melalui tangannya orang boleh terima Islam. Bahkan mampukah hati kita berkata: “Tak apalah kerana ada orang yang sedar melalui orang itu.”
Tentu tidak mudah. Nafsu selalunya hasad dengki bila melihat orang lain berjaya. Bahkan bertindak menyebarkan fitnah dan menjatuhkan orang itu. Kalau kita ada kuasa, kita akan cuba menyekatnya dengan alasan orang itu tidak ada tauliah.
10. Seorang isteri yang dipoligamikan. Suami memberi kasih sayang yang lebih pada isteri-isteri yang lain. Diistimewakannya pula. Dibawa ke mana-mana. Segala permintaannya dilayan mesra sedangkan diri kita tidak. Mudahkah untuk kita bersabar dan redha dengan suami itu. Mudahkah kita
bermuka manis dengan suami? Senangkah untuk tidak ber-dendam dengan suami dan madu kita itu? Bahkan mendoakan keselamatan dan kejayaan untuk mereka? Tidak mudah! Walaupun kita tahu betapa besarnya ganjaran yang Allah kurniakan di Akhirat kelak disebabkan tolak ansur kesabaran kita itu, nafsu tetap terasa berat. Begitulah sulitnya melawan nafsu ini.
11. Kita duduk sekampung atau satu pejabat dengan kawan kita. Sama-sama jatuh cinta dengan seorang perempuan cantik jelita. Masing-masing berusaha menawan dan menambat hati perempuan itu. Bersaing memberikan hadiah-hadiah istimewa, mengharapkan perempuan itu membalas cinta kita. Didapati cinta kita tidak berbalas. Bertepuk sebelah tangan. Sama-sama pergi meminang. Pinangan kita ditolak tetapi pinangan kawan kita itu diterima. Bagaimana hati kita pada waktu itu? Hati tentu hancur berkecai dan remuk-redam. Dirasakan hilang dunia ini dari pandangan. Di waktu itu mampukah kita membendung nafsu supaya jangan gilakan perempuan itu lagi? Tetap seperti biasa, berbuat baik pada perempuan itu? Mampukah untuk tidak berdendam dengan kawan sepejabat kita tadi? Bolehkah hati kita menerima takdir itu dengan tenang, tanpa keluh-kesah kerana redha dengan takdir Allah? Tentu payah.
12. Sebagai bos pejabat, di bawah kita ada kerani, pekerjapekerja, pemandu, tukang kebun, tukang sapu dan lain-lain lagi. Mampukah kita bergaul mesra dengan mereka? Mampukah kita memberi kasih sayang pada mereka? Makan minum serta tidur baring dengan mereka? Apakah boleh kita membantu mereka bila mereka perlukan bantuan? Adakah senang kita memberi nasihat baik-baik dengan penuh kasih sayang, bukan marah-marah? Adakah nafsu tidak terasa tercabar untuk buat itu semua? Apakah nafsu tidak terasa jatuh taraf sebagai seorang ketua. Tentulah nafsu rasa tercabar. Nafsu rasa jatuh taraf sebagai seorang ketua. Nafsu akan rasa tuan, rasa superman. Kesalahan perlu ditegur dengan marah-marah baru orang-orang bawahan takut. Nafsu rasa puas kalau dapat tengking dan herdik-herdik, cerca dan hina-hina orang bawahan. Begitulah jahatnya nafsu yang hendak dilawan itu.
13. Kita berdepan dengan isteri yang buat salah. Mudahkah kita nasihatkan isteri dengan baik dan penuh kasih sayang? Atau isteri, bila dapati suami bersalah, mudahkah untuk memaafkannya? Tegur dengan baik. Diingatkan dengan kasih sayang? Bukan dengan marah-marah dan mengaraharah? Mudahkah untuk berakhlak mulia ini? Tentu payah.
14. Seorang ibu ayah yang berdepan dengan kerenah anak-anak yang memeningkan kepala. Mudahkah untuk bersabar dengan mereka itu? Tidak mudah. Selalunya nafsu akan hilang pertimbangan dengan kenakalan mereka. Terpekikpekik, terjerit-jerit dan anak-anak jadi mangsanya. Atau ibu ayah yang bersalah pada anak-anaknya, mudahkah untuk anak-anak memaafkannya? Dan berdiam diri tidak menjawab kata-kata kesat mereka? Senangkah untuk taat arahan mereka? Nafsu selalunya mendorong kita untuk melawan cakap ibu ayah kita, tidak mentaatinya, menyakiti dan menderhakai mereka.
15. Kalau kita sebagai pemimpin berdepan dengan rakyat yang menegur kita, apakah kita dapat menerima teguran dengan sebaik-baik dan berlapang dada? Kalau teguran itu baik, apakah kita ucapkan terima kasih kerana dia sudah selamatkan kita di dunia dan Akhirat? Ertinya selamat daripada Neraka. Selalunya rakyat yang begitu akan diancam atau ditekan. Dikatakan cuba mengancam keamanan negara, hendak rebut kuasa atau hendak gulingkan kerajaan.
Begitulah nafsu kita. Betapa susahnya berperang dengan nafsu itu terbukti daripada salah satu pengalaman kita tadi. Berperang dengan musuh memanglah azab. Untuk mengikut kata nafsu memang mudah kerana kita sudah jadikan musuh sebagai kawan. Untuk jadikan nafsu itu sebagai tuhan, itulah paling mudah. Tidak terasa apa-apa susahnya kerana nafsu sudah menjadi tempat kita meletakkan cinta. Apabila nafsu sudah dijadikan cinta kita, memanglah seronok untuk kita tunduk dengannya. Diajak ke mana-mana pun senang kita ikut dan kita taati. Ini sudah pun diberitahu Allah dalam firman-Nya: “Apakah engkau melihat orang yang menjadikan hawa nafsu itu tuhannya?” (Al Furqan: 43)
Tunduk dengan cinta agung memanglah mudah. Macamlah apabila kita sayangkan isteri maka untuk mengikut cakapnya memanglah mudah. Cuba kalau isteri itu sudah dibenci dan dimusuhi. Apakah mudah diikut cakapnya? Tentu payah. Jadi walaupun kita susah memerangi nafsu ini tetapi kita usahakan juga tanpa jemu-jemu. Kita tahu memerangi nafsu inilah yang paling Allah suka. Oleh kerana ia dianggap jihad akbar (peperangan yang besar) maka kita teruskan juga. Kita yakin Allah membantu.
Kalau hati kita jahat, Allah tidak akan bantu kita. Segala kerja-kerja kita terbengkalai dan tersangkut. Tidak selesai. Itulah hukuman Allah di dunia di atas kecuaian kita bermujahadah itu. Sepanjang hidup kita berada dalam dosa. Dosa batin yang tidak kita sedari. Oleh itu mari kita bersihkan dosa batin kita ini. Mari kita terus bermujahadah yakni berperang dan bertarung dengan nafsu kita sendiri sehinggalah akhir hayat kita. Barulah dikatakan wira sejati. Seperti sabda Rasulullah SAW: “Siapakah yang dianggap wira itu?” Kata Sahabat: “Mereka yang tidak dapat dikalahkan (dalam peperangan).” Nabi menjawab: “(Orang yang dianggap wira itu) ialah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.” (Riwayat Ibnu Atsir)
Allah SWT juga ada berjanji: “Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan diri (dengan beriman).” (Al A’la: 14)
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.” (Asy Syams: 10)

Nasihat Imam Ghazali

Imam Ghazali telah memberi beberapa pedoman dalam memperbaiki budi pekerti manusia iaitu sebagaimana berikut :

Pertama : Dia mesti sentiasa berdekatan dengan seorang guru yang mengetahui sunguh-sungguh tentang kekurangan, kecelakaan dan keburukan yang ada pada dirinya dan yang dapat melihat kecacatan yang tersembunyi dalam jiwanya. Guru ini dengan kebijaksanaannya akan menerangkan kekurangan itu kepadamya di mana selepas itu guru tersebut akan memberi petunjuk yang mesti diikuti secarabersungguh. Begitu juga dengan latihan yang berkaitan dengan pembaikian itu dikerjakan benar-benar maka barulah hasilnya akan berkesan.

Kedua : Dia mesti mencari seorang teman yang setia, jujur, mengetahui keadaan dirinya dan beragama untuk dijadikan pengawas yang sentiasa mengamati segala gerak- gerinya. Pengawas ini akan menegur apabila adanya sesuatu yang kurang baik berlaku. Apabila setiap teguran dipatuhi maka usahanya ke arah memperbaiki budi pekerti akan bertambah maju.

Ketiga : Seseorang dapat mempelajari kekurangan, kecelaan dan keburukan dirinya daripada musuhnya iaitu dengan mendengar kekurangan yang keluar daripada musuhnya yang membencinya kerana mata orang yang benci cepat melihat kecelaan yang ada. Manusia dapat banyak faedah daripada lidah musuhnya yang sedang marah dan sedang menghamburkan keburukan dirinya. Ia lebih baik daripada pujian seorang teman yang penipu dan suka menyembunyikan keburukan yang sebenarnya.

Keempat : Melalui pergaulan juga mampu memperbaiki budi pekerti seseorang. Bergaul dengan ramai orang banyak faedahnya di mana seseorang dapat melihat apa yang baik dan kurang baik melaluinya. Dia mengambil sifat yang baik untuk diguna dan yang tidak baik untuk dijauhkan atau menggantikannya dengan yang baik. Sebaiknya seseorang yang mahu memperbaiki budi pekertinya mestilah menghitung dirinya sendiri dengan membersihkannya daripada segala kecacatan .

Bersyukurlah..ALLAH menutup aib kita...



Pada zaman Nabi Musa AS, bani Israel ditimpa musim kemarau yang berpanjangan. Mereka pun berkumpul mendatangi Nabi mereka. Mereka berkata, “Ya Kaliimallah, berdoalah kepada Rabbmu agar Dia menurunkan hujan kepada kami”. Maka berangkatlah Musa A.S. bersama kaumnya menuju padang pasir yang luas. Waktu itu mereka berjumlah lebih dari 70 ribu orang. Mulailah mereka berdoa dengan keadaan yang lusuh dan penuh debu, haus dan lapar.
Nabi Musa berdoa, “Ilaahi! Asqinaa ghaitsak.. wansyur ‘alaina rahmatak.. warhamnaa bil athfaal ar rudhdha’.. wal bahaaim ar rutta’.. wal masyaayikh ar rukka’..” Setelah itu langit tetap saja terang benderang, matahari pun bersinar makin menyilau (maksudnya segumpal awan pun tak jua muncul). Kemudian Nabi Musa berdoa lagi, “Ilaahi.. asqinaa”..
Allah pun berfirman kepada Musa, “Bagaimana Aku akan menurunkan hujan kepada kalian sedangkan di antara kalian ada seorang hamba yang bermaksiat sejak 40 tahun yang lalu. Umumkanlah di hadapan manusia agar dia berdiri di hadapan kalian semua. Kerana dialah, Aku tidak menurunkan hujan untuk kalian”.
Maka Musa pun berteriak di tengah-tengah kaumnya, “Wahai hamba yang bermaksiat kepada Allah sejak 40 tahun, keluarlah ke hadapan kami, karena engkaulah hujan tak  turun”. Seorang lelaki menjeling ke kanan dan kiri, maka tak seorang pun yang keluar di hadapan manusia, saat itu pula ia sedar kalau dirinya yang dimaksud.
Ia berkata dalam hatinya, “Kalau aku keluar ke hadapan manusia, maka akan terbuka rahsiaku. Kalau aku tidak berterus terang, maka hujan pun tak akan turun”. Maka hatinya pun gundah-gulana, air matanya pun menitis, menyesali perbuatan maksiatnya sambil berkata , “Ya Allah, Aku telah bermaksiat kepadaMu selama 40 tahun, selama itu pula Engkau menutupi aibku. Sungguh sekarang aku bertaubat kepadaMu, maka terimalah taubatku”.
Tak lama setelah pengakuan taubatnya tersebut, maka awan-awan tebal pun muncul, semakin lama semakin tebal menghitam, dan akhirnya turunlah hujan. Musa pun kehairanan, “Ya Allah, Engkau telah turunkan hujan kepada kami, namun tak seorang pun yang keluar di hadapan manusia”. Allah berfirman, “Aku menurunkan hujan kepada kalian oleh sebab hamba yang kerananya hujan tak turun telah bertaubat kepadaKu”.
Musa berkata, “Ya Allah, tunjukkan padaku hamba yang taat itu”. Allah berfirman, “Ya Musa, Aku tidak membuka aibnya sewaktu dia masih bermaksiat kepadaKu, apakah Aku perlu membuka aibnya sedangkan dia taat kepadaKu?”