Apabila perkahwinan sudah menjangkau enam
bulan, salah dan silap sesuatu pasangan akan mula diungkit, padahal
sebelumnya dibiarkan sahaja, konon masih baru. Lalu suami yang tidak
senang hati dengan sikap isteri, cuba menasihati isterinya begitu dan
begini. Percayalah ketika itu, nasihat suami sudah tidak bernilai lagi,
sebaliknya isterinya menjawab, “dulu tak salah, kenapa baru sekarang
salah?”
Ternyata pasangan itu memang sudah tidak serasi. Tetapi demi cinta,
mereka tetap mengharungi rumah tangga walaupun dalam keadaan tidak
selesa. Walaupun dalam tidak selesa itu, mereka tetap menikmati
saat-saat kebahagiaan rumah tangga. Anehnya dalam keadaan benci, isteri
tetap mengandung dan mereka terus dikurniakan anak.
Sebab itulah kadang-kadang, kita rasa hairan dan terkejut apabila dalam
diam-diam pasangan itu dikatakan bercerai. Lalu orang ramai pun
berkata, “kenapa la bercerai, kesian anak terpaksa berpisah dengan ibu
atau bapa.” Kita hairan kenapa setelah lama berkahwin, masih tidak
temui serasinya.
Itu kata kita, tetapi sebenarnya mereka berdua sudah lama menderita.
Namun hati kecil mereka masih ada harapan. Maka walaupun menderita,
hidup masih diteruskan di samping mencari penawarnya. Tetapi apabila
sampai kemuncak masalah dan penyelesaian masih tidak ditemui,
perceraian terpaksalah dipilih.
Sebenarnya mereka sudah menyedari ketidakserasian itu sejak awal
pernikahan mereka, namun mereka gagal untuk merawatnya dengan baik.
Tetapi percayalah isu ini masih belum terlewat untuk dirawat.
Sebenarnya isu tidak serasi ini hanya ibarat retak mencari belah. Sebab
itu jika pasangan yang terlibat tidak dapat mengesan ketidakserasaian
itu lebih awal, perceraian boleh berlaku bila-bila masa sahaja. Jadi,
beruntunglah mereka yang berusaha mencari punca penyebabnya.
Sebenarnya punca tidak serasi itu bermula daripada tidak serasinya iman
pasangan tersebut. Mungkin suami kuat imannya, tetapi isteri lemah
imannya. Apatah lagi kalau kedua-dua mereka tidak ada iman. Hakikatnya
mereka tidak meletakkan Allah di dada mereka.
Percayalah mereka yang ada iman, pasti akan takut kepada Allah, iaitu
takut untuk melakukan dosa, takut untuk melakukan zalim kepada orang
lain apatah lagi isteri dan anak-anaknya. Begitu juga kalau isteri
beriman, sudah pasti dia akan takut untuk menderhakai suaminya, dan
akan takut untuk meminta cerai daripada suaminya.
Selain itu pasangan yang beriman itu akan melakukan solat lima waktu
dan sunat-sunatnya. Malah mereka yang taat solat, akan berasa tenang
sewaktu berhadapan dengan pasangan. Malah jika sesekali mereka
berkesempatan melakukan solat berjemaah, pasti hati pasangan itu mudah
disatukan Allah.
Percayalah apabila pasangan itu boleh berasa takut kepada Allah, dan
dapat pula mendirikan solat dengan sempurna, bibit perceraian tidak
akan terjadi. Keserasian pasti akan diperoleh oleh pasangan tersebut
semasa berkahwin bahkan sampai bila-bila.
Sungguh pun begitu, jumlah golongan ini tidak ramai. Di sana sini kita
temui mereka yang lemah iman, buktinya ramai yang tidak melakukan solat dengan sempurna, dan ramai juga suami yang takut kepada isteri.
Mereka ini kalau pun kelihatan seperti serasi, tetapi hakikatnya mereka
mahu hidup secara bebas, berseronok suka dalam kancah dosa dan
maksiat.
Peranan Suami Didik Isteri
Mana-mana pasangan yang boleh mengekalkan iman dan taqwa dan boleh
melaksanakan solat dengan sempurna, pasti suami dan isteri mampu
berperanan dalam rumah tangga seperti yang diajar oleh Nabi Muhammad
s.a.w. Inilah pasangan yang serasi malah boleh berkekalan sehingga ke
dalam syurga.
Suami dalam keadaan ini perlu berperanan sebagai pendidik selain
memimpin isteri ke jalan yang selamat. Maknanya pada malam pertama
perkahwinan mereka, suami perlu menjelaskan pantang larang yang perlu
isteri taati. Dalam pada itu kalau isteri tersalah dan tersilap,
segeralah menegurnya dengan penuh hikmah.
Isteri juga perlu diingatkan agar sentiasa mematuhi kehendak suami dan
meminta izin sebelum melakukan sesuatu pekerjaan yang luar jangkaan.
Peringatan ini penting dalam membina keharmonian rumah tangga. Semua ini
akan memudahkan suami memimpin isteri ke arah jalan yang bahagia.
Manakala rumah tangga yang telah didapati tidak serasi perlulah
menamatkan sengketa itu dengan saling memaafkan kesalahan
masing-masing. Percayalah setelah kedudukan telah menjadi
kosong-kosong, suami bolehlah membuat penjenamaan baru dengan
menyenaraikan garis panduan, pantang larang seperti yang dinyatakan di
atas.
Ingatlah selagi mereka mampu mengikut garis panduan dan pantang larang
yang ditetapkan Allah dan Rasulullah, mereka akan terdorong ke arah
hidup yang bahagia selama-lamanya.
No comments:
Post a Comment