Imam Ghazali telah memberi beberapa pedoman dalam memperbaiki budi pekerti manusia iaitu sebagaimana berikut :
Pertama : Dia mesti sentiasa berdekatan dengan seorang guru yang
mengetahui sunguh-sungguh tentang kekurangan, kecelakaan dan keburukan
yang ada pada dirinya dan yang dapat melihat kecacatan yang
tersembunyi dalam jiwanya. Guru ini dengan kebijaksanaannya akan
menerangkan kekurangan itu kepadamya di mana selepas itu guru tersebut
akan memberi petunjuk yang mesti diikuti secarabersungguh. Begitu juga
dengan latihan yang berkaitan dengan pembaikian itu dikerjakan
benar-benar maka barulah hasilnya akan berkesan.
Kedua : Dia
mesti mencari seorang teman yang setia, jujur, mengetahui keadaan
dirinya dan beragama untuk dijadikan pengawas yang sentiasa mengamati
segala gerak- gerinya. Pengawas ini akan menegur apabila adanya sesuatu
yang kurang baik berlaku. Apabila setiap teguran dipatuhi maka usahanya
ke arah memperbaiki budi pekerti akan bertambah maju.
Ketiga :
Seseorang dapat mempelajari kekurangan, kecelaan dan keburukan dirinya
daripada musuhnya iaitu dengan mendengar kekurangan yang keluar daripada
musuhnya yang membencinya kerana mata orang yang benci cepat melihat
kecelaan yang ada. Manusia dapat banyak faedah daripada lidah musuhnya
yang sedang marah dan sedang menghamburkan keburukan dirinya. Ia lebih
baik daripada pujian seorang teman yang penipu dan suka menyembunyikan
keburukan yang sebenarnya.
Keempat : Melalui pergaulan juga
mampu memperbaiki budi pekerti seseorang. Bergaul dengan ramai orang
banyak faedahnya di mana seseorang dapat melihat apa yang baik dan
kurang baik melaluinya. Dia mengambil sifat yang baik untuk diguna dan
yang tidak baik untuk dijauhkan atau menggantikannya dengan yang baik.
Sebaiknya seseorang yang mahu memperbaiki budi pekertinya mestilah
menghitung dirinya sendiri dengan membersihkannya daripada segala
kecacatan .
No comments:
Post a Comment