Saturday 6 October 2012

Kenangan terindah..

Pada bulan September 2010, Aku telah ditawarkan untuk melanjutkan pengajian secara jarak jauh di OUM atau ringkasan kepada Open University Malaysia. Program ini adalah kerjasama antara OUM dan Bahagian Pendidikan guru. Jurusan yang ditawarkan tentulah yang berkaitan dengan kursus semasa di Maktab iaitu Pengajian Sains (Pendidikan). Pada mulanya aku kurang yakin dengan keadaan aku untuk menyambung pengajian , tetapi dengan semangat rakan sekolahku yang turut mendapat tawaran menyebabkan aku menerima tawaran ini.
       Pada awalnya segalanya nampak mudah dengan kelas yang fleksibel dan matapelajaran yang umum tentang pendidikan. Alhamdulillah selesai sudah semester 1. Apabila masuk semester ke dua barulah sedikit kesukaran apabila subjek major ditawarkan. Apabila tiba untuk menghantar tugasan , aku dapati rakanku ini tidak menghantar tugasan dan memberitahu bahawa dia akan menangguhkan pengajiannya .Satu tamparan untuk aku. Aku nekad untuk meneruskan pengajian kerana aku telah bersusah-payah menyiapkan tugasan aku. Tujuan utama aku belajar hanya kerana Allah dan ingin mencabar diri sendiri, bukan hanya mengharapkan kenaikan gaji semata-mata. Semuanya datang dari Allah.
        Apabila masuk semester yang berikutnya, kelas telah dijalankan pada hari sabtu di Pusat Pengajian Amanjaya, Sungai Petani. ini bermakna aku tidak berseorangan lagi. Pada awalnya ramai juga pelajar lelaki. Semester demi semester berlalu..pelajar lelaki semakin berkurang. ramai yang berhenti separuh jalan atau tidak mahu meneruskan pengajian. Kini Pelajar lelaki semakin pupus dan hanya tinggal lima orang sahaja..
Sepanjang tempoh pengajian, aku berasa kagum dengan ketabahan sesetengah pelajar perempuan yang merupakan ibu kepada beberapa orang anak dan ada juga yang mengandung dan sedang tempoh berpantang. Namun itu bukan alasan untuk mereka untuk tidak hadir ke kuliah dan peperiksaan. Adakalanya aku merujuk kepada keadaan ini apabila berbicara dengan isteriku agar dia tidak memanjakan diri dan supaya dia tabah untuk menamatkan pengajiannya di USM. Hanya semester satu sahaja aku menyiapkan tugasannya kerana melihat akan keadaan dirinya yang agak stress.
         Kini...aku telah menamatkan pengajianku dan telah berkonvo pada Jun 2011. Sebenarnya aku sepatutnya berkonvo pada December 2010 tetapi aku masih lagi keciciran tiga matapelajaran iaitu Subjek Kimia Fizikal, Fizik Cahaya dan Kimia Bukan Organik. Masih ingat lagi bagaimana aku berguru untuk subjek Kimia Fizikal dengan sepupuku yang sedang belajar di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang pada masa itu. Bagi Subjek Kimia Bukan Organik aku belajar dengan Pensyarah IPSAH En. Thangaveloo pada setiap malam yang dijanjikan dirumahnya. Setiap kali sampai di rumahnya anjingnya lah yang akan menyambut kedatangan aku terlebih dahulu.  Aku akan kenang En. Thangaveloo sebagai guru aku. Bila tiba waktu berkonvo isteriku tidak dapat hadir kerana ada kuliah. Aku lebih menggalakkan isteriku hadir ke kuliahnya daripada menghadiri majlis konvokesyen aku. Aku membawa bersama-sama ibuku, ibu mertuaku dan adik iparku serta sudah tentulah anak-anak ku ke Majlis Konvokesyen yang dilangsungkan di PWTC. Aku mengharapkan agar anak-anakku dapat mencontohi kejayaan ku untuk menggenggam segulung ijazah. Namun begitu aku sentiasa mengingatkan diri aku bahawa ini bukanlah penamat untuk aku berusaha  tetapi satu permulaan. Kejayaan ini mungkin hanya bersifat duniawi semata-mata tetapi yang menjadikan ia lebih ukhrawi ialah niat belajar semata-mata kerana Allah. Aku bersyukur kerana mempunyai sahabat-sahabat yang sama-sama berkongsi suka dan duka sepanjang pengajian. Sesungguhnya hidup adalah satu perjuangan....







        
       

No comments:

Post a Comment